GEORGE TOWN 17 FEB: Kira-kira 318 orang pelajar kelahiran Pulau Pinang yang menuntut Mesir akan diberi imbuhan oleh kerajaan negeri untuk menyambung kembali pelajaran apabila keadaan di sana kembali stabil.
Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini dan diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman di sini.
Pemberian ini menunjukkan Kerajaan Negeri sangat prihatin kepada semua isu permasalahan masyarakat dan rakyat negeri ini.
Sehingga kini ada 318 pelajar di mana 111 orang adalah pelajar bagi bidang perubatan manakala 207 orang lagi adalah pelajar bidang syariah.
“Ada 318 orang pelajar kesemuanya. Kerajaan negeri telah bersetuju dalam mesyuarat Exco yang lepas bahawa kita akan memberikan sedikit imbuhan untuk mereka pulang semula ke Mesir. Kita akan memberi RM 2,000 kepada seorang pelajar.
“Ini untuk membantu mereka bagi memberi tiket penerbangan balik dan mengurangkan bebanan keluarga. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin kepada masalah yang dihadapi masyarakat dan rakyat,” katanya.
Wang imbuhan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM 1,000 dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIP) juga memberikan sejumlah RM 1,000.
Bantuan kewangan ini diberikan bagi meringankan bebanan keluarga pelajar selain membantu membeli tiket untuk pulang semula ke negara itu.
Mengulas perkara sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Kerajaan Persekutuan juga memberi sedikit bantuan bagi pelajar-pelajar ini.
No comments:
Post a Comment