!DUA gadis remaja itu berusia dalam lingkungan 20-an dan kedua-dua mereka itu memakai tudung. Demikian cerita seorang lelaki berdarah Arab yang sudah hampir enam tahun tinggal di Malaysia, Amin Bin Mohd Husni Tannin AlJufri,30 lebih mesra dengan panggilan Amin.
Menurut Amin, peristiwa ini berlaku pada pagi hari Ahad ketika dia ingin mengunjungi ibu angkatnya yang berada di KIang, Selangor. Pagi itu saya hanya berjalan seorang diri dan ketika saya melewati bangunan Tenaga Nasional Berhad yang tersergam megah saya terus teringat bil elektrik yang perlu saya jelaskan pada esok hari.
Bagi mengingatkan semula jumlah yang perlu dibayar saya mengeluarkan bil tersebut yang saya selitkan di dalam dompet saya. Sebenarnya malu juga hendak bercerita yang saya rasa gementar nak bayar bil elektrik tersebut pada keesokan hari kerana inilah pertama kalinya saya membayar bil di Malaysia kerana sebelum ini teman serumah saya yang uruskan segala urusan berkaitan bil
Cerita Amin, ketika dia sedang membelek-belek bil elektrik tersebut dia terserempak dengan dua remaja perempuan Melayu yang memberhentikan keretanya tidak berapa jauh dari bangunan TNB tadi. "Saya terus menuju ke arah remaja perempuan itu, dan bertanyakan kepada salah seorang daripada mereka sama ada saya boleh menjelaskan bil elektrik di pejabat TNB itu atau tidak.
"Sambil saya menunjukkan penyata bil di tangan saya, dan sambil berbual-bual dengan remaja perempuan itu saya berasa sedikit terkejut apabila melihat salah seorang daripada remaja perempuan itu sedang berdiri tegak berhampiran sebuah pagar besi yang bangunannya adalah gereja," katanya.
Ujar Amin, pada masa itu dia tidak berfikir atau syak apa-apa apabila melihat remaja perempuan itu sedang berdiri di situ tetapi dia berasa terkejut melihat bangunan itu adalah gereja. Dia mula berasa tidak tenang dan berdebar-debar. "Saya rasa sedikit gementar kerana saya belum pernah berdiri begitu hampir dengan gereja sebaliknya saya hanya pernah melihatnya dari jauh sahaja. Saya juga tidak menyedari bangunan yang berhampiran dengan TNB itu adalah gereja sehinggalah saya terpandang salib besar pada bangunan itu," katanya.
Cerita Amin lagi, "Semasa saya berbual dengan remaja perempuan itu saya berasa sangat terkejut! Saya hanya beristighfar di dalam hati sebanyak-banyaknya apabila saya terlihat rantai bersalib tergantung di lehernya apabila tudungnya tersingkap ditiup angin!". Al-Islam cuba mendapatkan kepastian dengan bertanyakan kepada Amin apakah dia benar-benar pasti yang remaja perempuan itu memakai rantai bersalib "Demi Allah! Mata saya belum buta lagi, saya lihat dengan mata kepala saya sendiri! Salib yang tergantung di leher remaja perempuan itu berwarna hitam," tegas Amin.
Menurut Amin lagi, sedang dia berbual, remaja perempuan itu minta untuk memberhentikan perbualan kerana katanya dia mempunyai hal penting dan hampir terlewat. "Kak Long nak ke mana?" Amin bertanyakan kepada remaja perempuan itu yang disapanya dengan panggilan Kak Long, lantas sekali lagi Amin terkejut besar apabila remaja perempuan itu menunjukkan ke arah gereja yang berada di situ. Amin tidak berpuas hati lalu dia bertanyakan tujuan dua remaja perempuan berkenaan. Dengan ringkas mereka membalas, untuk bersembahyang." Ujar Amin,
saya terdiam seketika sambil saya melihat dua remaja perempuan yang bertudung itu terus berjalan menuju masuk ke dalam gereja. Saya berasa sedih bercampur geram, remaja perempuan itu telah murtad!". Bercerita lebih lanjut mengenai hal ini, menurut Amin, ketika mula-mula dia sampai di Malaysia dia difahamkan, setiap orang yang berbangsa Melayu beragama Islam. Tetapi selepas peristiwa itu dia mula merasakan sebaliknya.
Ceritanya lagi, dia yakin ramai lagi remaja Melayu yang murtad di Malaysia kerana negara Malaysia tidak mengamalkan undang-undang Islam sebagaimana di Arab Saudi, tanah kelahirannya. Katanya, di Arab mereka sangat tegas dalam hal murtad. Justeru tidak ramai yang murtad di sana kerana mereka melaksanakan hukuman hudud. Sesiapa yang murtad, mahkamah akan memberikan mereka peluang selama tiga hari untuk mereka berfikir sebaik-baiknya dan dalam tempoh tiga hari itu "mereka yang murtad akan diberi kaunseling dan diminta untuk segera bertaubat.
Sekiranya dalam tempoh tiga hari mereka masih enggan bertaubat maka hukuman akan dijalankan. Tambah Amin lagi, bagi kes murtad, tidak dibenarkan sebarang pembelaan atau peguam bela dan mereka yang terlibat akan dijatuhi hukuman pancung. Hukuman akan dijalankan di hadapan khalayak ramai pada hari Jumaat selepas solat Jumaat, tidak kira apa pun kesalahan sama ada mencuri mahupun membunuh. Hukuman akan dijalankan pada hari dan waktu tersebut di depan khalayak ramai. Menurut Amin yang kini mengajar subjek Bahasa Arab di salah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPT), dia sendiri sudah beberapa kali menyaksikan hukuman pancung yang dikenakan terhadap orang yang membunuh. "Selepas solat Jumaat orang ramai sudah berkumpul di hadapan masjid. Berbelas-belas ambulans disediakan bagi tujuan mengangkat orang yang pengsan semasa melihat hukuman itu dijalankan," katanya.
Ujarnya lagi, ketika dia menyaksikan orang yang dijatuhi hukuman bunuh, dia melihat pedang yang digunakan untuk memancung kepala pesalah begitu panjang dan berkilat. Pesalah akan disuruh mengucap dua kalimah syahadah sementara kepalanya ditutup dengan kain berwarna hitam. Selepas itu pedang yang panjang dan berkilat diayunkan lalu kepala pesalah itu jatuh tergolek di atas tanah dan darah merah pekat memancut keluar.
Tegas Amin, pemimpin dan ulama di Malaysia tidak tegas dalam hal ehwal agama Islam. Justeru banyak kes-kes kehancuran akhlak dan akidah di kalangan umat Islam berlaku tanpa henti-henti bahkan semakin bertambah. Penyelesaiannya cuma satu, iaitu jadikan al-Quran sebagai panduan dan rujukan bukannya perlembagaan yang direka oleh manusia. Dengan demikian Insya Allah! Negara Malaysia akan bertambah makmur dan berkat. Berdasarkan dakwaan yang dibuat oleh Amin kepada Al-Islam, penulis cuba menjejaki dua remaja perempuan bertudung yang didakwa oleh Amin bahawa mereka telah murtad. Satu misi diatur dengan harapan bertemu dengan remaja terbabit. Justeru, awal pagi Ahad, saya menuju ke gereja di Kang Bandar Diraja sebagaimana yang diceritakan oleh Amin.
Tepat pukul 8.00 pagi setelah puas mencari dan bertanyakan kepada orang awam, akhirnya saya sampai juga di gereja tersebut. Suasana pada pagi itu cukup hening. Pada intipan kali ini, saya tidak masuk dan mengikuti upacara sembahyang penganut Kristian sebaliknya hanya menunggu di luar sahaja betul-betul di hadapan pintu utama gereja tersebut. Keadaan mulai sesak, satu persatu kereta memenuhi bahu jalan, mata saya terus memerhati tepat ke arah pintu masuk gereja sementara di dalam hati terus berharap diketemukan dengan dua remaja berkenaan.
Hampir dua jam menunggu, hati sudah mula mengeluh letih. Benarlah kata orang penantian satu penyeksaan. Selama saya menunggu di situ saya tidak menemui langsung 'batang hidung' remaja perempuan yang didakwa oleh Amin. Apatah lagi wajahwajah Melayu lain. Nampaknya usaha Al-Islam untuk bertemu dua remaja perempuan itu tidak membuahkan hasil.
AL-ISLAM Tidak putus asa
AL-ISLAM tidak pernah berputus asa, selepas beberapa hari pulang dari intipan yang dibuat, Al-Islam menerima maklumat dari seseorang yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi. Kali ini dakwanya terdapat sebuah gereja di Kajang yang menjalankan upacara sembahyang khas untuk orang-orang Melayu pada setiap pagi hari Khamis. Saya sangat terkejut mendengar cerita daripada Azmi.
Kata Azmi, gereja tersebut mengadakan upacara sembahyang pada hari Isnin untuk orang Cina, Khamis untuk orang Melayu, Jumaat untuk orang Indonesia sementara Ahad untuk semua orang tanpa mengira bangsa. Menurut Azmi dia mengetahui hal ini daripada salah seorang jirannya yang berbangsa India yang turut mengunjungi gereja tersebut.
Daripada cerita Azmi, kami lihat Azmi bersungguh-sungguh mahu Al Islam menyelidiki dan menyelongkar hal ini. Berdasarkan maklumat yang diberikan, sekali lagi saya 'turun' demi mencari kebenaran! Hari Khamis, pukul 8.10 minit pagi, saya berada di tempat yang dinyatakan. Dengan menaiki sebuah motor kapcai dan berpakaian ala-ala mat rempit saya sudah terpacak di hadapan pintu utama gereja bagaikan serigala menanti mangsa.
Mata saya tajam melihat ke arah perkarangan gereja. Satu jam sudah berlalu. Suasana di gereja sunyi-sepi bagaikan baru dilanggar geroda. Saya mula hairan, namun saya gagahkan diri dan tetap terus menunggu dan menunggu. Tepat pukul 10.00 pagi, keadaan masih lagi sama, tiada apa-apa yang berlaku di gereja dan tidak ada sebarang upacara sembahyang dijalankan sebagaimana yang didakwa oleh Azmi. Saya mengambil keputusan untuk terus menanti dalam tempoh satu jam lagi, mata mula terkebil-kebil dan mulut pula tidak henti-henti menguap. Tepat pukul 11.00 pagi, lutut pun sudah mula lembik. Saya mula mengambil keputusan untuk 'angkat kaki' tapi sebelum itu bagi memuaskan hati saya sempat bertanya kepada seorang pengawal keselamatan berbangsa India yang bertugas tidak jauh dari gereja itu.
Menurut lelaki India itu, dia mengakui, terdapat remaja-remaja Melayu yang mengunjungi gereja tersebut tetapi pada pagi hari Ahad kerana dia sendiri pernah melihatnya. Tentang upacara sembahyang yang dijalankan khas untuk orang-orang Melayu pada pagi hari Khamis, dia menyatakan yang waktunya telah diubah dan dia menyarankan agar saya datang pada pagi Ahad kerana pada pagi itu beratus-ratus penganut Kristian akan mengunjungi gereja tersebut.
Demikianlah cerita daripada lelaki India itu. Apa pun Al-Islam akan 'turun' sekali lagi bagi membuat intipan semula di gereja tersebut. Sama-samalah kita saksikan kebenarannya nanti di dalam Al-Islam.
Sumber:
Al Islam
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment