Babi; Rumah Rehat Virus
Penyakit yang dihadapi oleh babi begitu banyak berbanding dengan lembu dan biri-biri. Ini disebabkan Tuhan telah menciptakan tubuh babi mempunyai kondisi yang amat sesuai untuk pembiakan pelbagai jenis virus. Maka babi dianggap sebagai ‘kilang’ pembiakan virus-virus jenis bahaya dan sederhana.
Babi mempunyai tabiat makan yang kotor. Apabila virus memasuki badan babi melalui pengambilan makanan, virus-virus membiak di dalam sel-sel badan babi dengan jumlah yang begitu besar.
Di sesetengah keadaan, virus ini mampu bercampur dengan virus-virus daripada jenis lain. Mereka membiak dan menghasilkan strain baru yang mewarisi ciri-ciri induknya dan kadangkala ia lebih berbahaya.
Kebiasaannya, virus-virus babi menjangkiti manusia yang mempunyai tugas secara langsung dengannya. Golongan penternak, pekerja, penyembelih dan doktor-doktor babi adalah golongan yang paling berisiko mendapat penyakit daripada babi.
Kadang-kadang, jangkitan penyakit timbul akibat memakan daging, lemak dan bahagian-bahagian lain dari haiwan tersebut. Terdapat juga beberapa kes jangkitan yang berlaku melalui perburuan ke atas babi hutan, pencemaran air minuman, bahan kumuh babi dan serangga perantara yang menggigit babi dan kemudiannya memindahkan virus daripada babi kepada manusia, seperti penyakit maut Japanese Ecephalitis (JE).
Akhbar online Newser bertarikh 17 April 2009 telah melaporkan, pekerja-pekerja industri penyembelihan babi telah mendapat penyakit saraf jenis baru akibat kerja-kerja memenggal kepala-kepala babi. Seramai 24 orang, kebanyakannya daripada Minnesota mengalami masalah saraf, lemah, keletihan melampau, kebas dan rasa nyilu serta mencucuk. ” Setakat pemerhatian kami, ia adalah simptom kepada penyakit baru,” kata seorang doktor yang merawat pesakit di Minnesota.
Mengapa Babi Lebih Bahaya Kepada Manusia?
Kerana kuman yang biasa, apabila masuk ke dalam babi akan berubah menjadi lebih berbahaya. Ini dibuktikan oleh laman web rasmi Centers of Disease Control and Prevention (America) mengesahkan babi mampu mengubah kuman-kuman virus yang menyerangnya menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa.
Masalah utama adalah kita tidak boleh membuang retrovirus ini daripada babi kerana retrovirus ini dibawa oleh genetiknya. Dengan kata lain, babi dan virus sudah mendarah daging dan tidak dapat pisahkan, apatah lagi, ia mewariskan genetik bervirus dan mengakibatkan bahaya jika diguna oleh manusia.
Babi adalah takungan virus yang sangat baik. Ia mampu mengubah virus yang yang masuk ke dalam badannya. Pakar Mikrobiologi di Universiti Hong Kong, Profesor Malik Peiris berkata, ”Jika anda mengambil virus manusia lalu memasukkannya ke dalam burung atau ayam, ia tidak akan membiak. Begitu juga jika anda mengambil virus daripada haiwan tersebut dan membasukkannya ke dalam manusia, ia juga tidak membiak. Sebaliknya, satu penemuan yang mengejutkan diperolehi bilamana virus manusia dan virus burung di masukkan ke dalam badan babi, kedua-dua bahan genetik virus ini bergabung lalu menghasilkan satu virus baru yang lebih merbahaya dan ia membiak dengan mudah sekali. Hal ini telah dilaporkan di dalam The Sunday Morning Herald pada 31 Julai 2004 di bawah tajuk Pigs May Help Spread Bird Flu Among Humans.
Sehingga ke hari ini, telah banyak virus baru yang ditemui adalah keluaran babi dan menjangkiti manusia. Antaranya adalah Porcine Torivirus, Porcine Rotavirus, Porcine Reproductive Syndrome Virus dan H3N2 Swine Flu Virus yang dilaporkan dalam Campaign for Responsible Transplantation – Press Releases pada 21 Oktober 1998.
Di dalam Journal of Virology 1997 pula, sekumpulan saintis di bawah Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin mendakwa pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk-bentuk yang lebih berbahaya. ‘Babi telah menjadi takungan yang nyaman kepada virus’, begitulah anggapan mereka. Dan kajian mereka mendapati virus binatang yang biasanya tidak dapat menjangkiti manusia tiba-tiba bertukar menjadi kuman berbahaya yang mampu menjangkiti manusia setelah keluar dari badan babi.
Beberapa tahun yang lalu Malaysia digemparkan dengan lebih seratus kematian akibat penyakit Japanese Encephalitis yang dibawa oleh nyamuk. Nyamuk Culex betina yang menghisap darah babi, membawa bersamanya virus maut ini kepada manusia apabila ia menggigit manusia pula.
Akibatnya, virus ini menyelinap ke saluran di otak tanpa disedari oleh mangsa. Berlaku keradangan di sel-sel otak dan membran sekelilingnya. Sel-sel darah putih sedaya upaya mempertahankan tisu dari serangan virus ini tetapi gagal. Tisu-tisu otak seterusnya membengkak. Kemusnahan sel-sel saraf dan otak memburukkan lagi keadaan. Akhirnya otak turut musnah, dan mangsa tidak dapat diselamatkan.
Di seluruh Asia, hampir 500 000 kes JE dilaporkan, di mana 10 000 daripadanya telah mengakibatkan kematian pada kanak-kanak.
Akibatnya, banyak babi dibunuh oleh pihak penguasa. Tetapi usaha penghapusan babi hanya sementara dan manusia kembali menternak haiwan tersebut. Menurut Jumhur ulamak, babi boleh dibunuh kerana ia bukan harta bernilai, bahkan termasuk dalam harta yang diharamkan oleh syara’ mengambil manfaat daripadanya, kerana mengandungi kemudaratan yang amat besar kepada manusia.
Seharusnya negara mencari penternakan alternatif bagi menggantikan babi. Amerika dan negara barat lain mempunyai ladang penternakan babi yang sistematik. Tetapi penyakitnya masih menular kepada masyarakat, bahkan kos perubatan yang terpaksa disediakan untuk merawat penyakit yang berpunca dari babi ini lebih besar dari keuntungan penternakan itu sendiri.
No comments:
Post a Comment