Islam melarang keras tindakan kerajaan atau pihak berkuasa mencampuri urusan kenaikan harga barangan, terutama bahan keperluan harian yang menjadi kegunaan tetap rakyat. Malah urusan itu perlu diserahkan kepada pihak-pihak yang mengendalikan keperluan berkenaan seperti syarikat atau badan-badan yang bebas daripada pengaruh anasir pihak kerajaan.
Kerajaan hanya perlu menumpukan bidang tugasnya kepada urusan pentadbiran negara/negeri dengan mengambil kira kebajikan rakyat dalam segenap aktiviti, memperbaiki sistem perundangan dengan mengelakkan daripada terjebak dalam kegiatan tidak bermoral seperti rasuah, nepotisme, kronisme dan sebagainya yang hanya berlegar di kalangan mereka yang terdekat, khususnya dalam pemberian tender atau projek mega.
Pihak berkuasa, pemerintah atau kerajaan hanya dibenarkan mencampuri urusan berkenaan, jika terdapat pihak tertentu yang cuba memonopoli, menyorok atau menaikkan harga barangan mengikut sesuka hati bertujuan mengaut keuntungan berlipat ganda tanpa mengambil kira bebanan yang perlu ditanggung oleh pengguna, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Tanggungjawab dan peranan kerajaan dalam menangani kenaikan harga barangan amat perlu. Ia boleh dianggap sebagai orang tengah yang memiliki kuasa untuk membatalkan mana-mana tindakan syarikat atau badan tertentu yang sewenang-wenang bertindak membelakangkan kebajikan orang ramai.
Campur tangan kerajaan dalam situasi seumpama ini bagaikan membela rakyat dan menghilangkan rasa bebanan yang ditanggung mereka. Inilah kerajaan yang baik menurut pandangan Islam. Sehubungan dengan usaha kerajaan di atas, seorang tokoh ulama masa kini yang cukup ternama, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengulas isu berkenaan menurut pandangan agama, ia disiarkan dalam laman web islamonline.net.
Beliau menegaskan, bahawa Islam memberikan kebebasan dalam perlakuan pemasaran barangan dengan norma-norma yang dilihat tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sesuatu pihak, sama ada pembekal (peniaga) mahupun pengguna (pembeli).
Ia berasaskan satu riwayat di mana berlaku kenaikan harga barangan pada zaman pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w., orang ramai menemui baginda dan berkata: Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu mengenai kenaikan harga barangan (pada barangan keperluan harian)? Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah SWT itu Yang Maha Pemberi Rezeki, Maha Luas kurniaan-Nya, maka tidak ada orang yang boleh berlaku zalim (dalam urusan kenaikan harga barang) apa apa jua alasan yang melibatkan barangan atau tubuh badan.
Ia satu gambaran, di mana Islam melarang menaikkan harga sesuatu barangan hingga tidak mampu dibeli oleh pengguna atau menambahkan bebanan mereka kerana berpendapatan rendah, ia disifatkan sebagai satu tindakan zalim dilakukan oleh pihak peniaga. Tetapi apa yang berlaku pada hari ini, ialah campur tangan kerajaan dalam menentukan kenaikan harga seperti bahan api kerana mahu mengaut keuntungan pihak tertentu. Pada masa sama ia mengarah peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.
Bagaimana mereka tidak akan menaikkan harga, sedangkan semuanya ada kaitan dengan kenaikan harga minyak, peniaga yang menggunakan lori terpaksa bayar lebih daripada biasa untuk membeli diesel. Penyelesaiannya adalah kerajaan perlu belajar daripada hadis Nabi di atas bagi mengelak bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat. _
Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment