Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga);- (Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim).
Friday, January 15, 2010
ISU KALIMAH ALLAH : JANGAN BUAT ZALIM KEPADA NON MUSLIM.
Islam agama yang adil. Keadilan islam itu, wujud dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Sesuatu Ijtihad ulama, mesti berasaskan kepada keadilan Islam. tidak ada gunanya ulama berijtihad, jika ijtihad mereka tidak membawa kepada keadilan islam.
Islam akan berkembang dengan keadilan. Tetapi, Islam akan ditolak sekiranya kezaliman didokong oleh pejuang-pejuang islam. Sejarah telah membuktikan, dengan keadilan, islam berkembang. Inilah perjuangan nabi Muhammad SAW.
Tidak ada satu agama, pemikiran dan idealogi pun yang berkembang, sekiranya asas perjuangan mereka kezaliman. Bahkan, sejarah telah membuktikan juga, betapa pembawa bendera kezaliman ditolak sedemikian rupa.
Apakah kita lupa, mengapa rakyat semakin hari semakin menolak UMNO/BN? Semuanya kerana, mereka adalah pembawa bendera-bendera kezaliman.
Keadilan islam ini, tidak sekadar diberikan kepada sesama muslim, bahkan terhadap binatang wajib diberikan keadilan. Ekoran itu, sembelihan yang hendak dilakukan terhadap binatang, tidak dapat tidak perlu menggunakan pisau yang tajam.
Jika terhadap binatang pun, perlu dilakukan keadilan, bagaimana pula terhadap manusia yang tidak beragama islam? Sudah pasti, keadilan terhadap mereka terlebih utama dilakukan.
Ciri utama bagi keadilan Islam adalah, memberikan hak kepada mereka yang berhak. Bermakna, jika menafikan hak mereka yang berhak, sudah pasti ia adalah kezaliman.
Penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim adalah hak mereka. Ekoran itu, tidak ada satu ayat pun dalam Al-Quran dan satu hadis Nabi SAW pun yang melarang dari mereka menggunakan kalimah Allah.
Nas yang menggambarkan bahawa yahudi dan nasrani itu memahami Allah tidak seperti muslim faham, ia sudah termaktub dalam Al-Quran. Yahudi dan nasrani meletakkan satu kefahaman yang salah, iaitu mengatakan Allah itu ada anak.
Memang wujud nas-nas celaan terhadap Non Muslim yang beriktiqad sedemikian rupa, pun begitu, apakah nas itu boleh menjadi dalil untuk kita melarang non Muslim menggunakan kalimah Allah?
Arak yang haram, sudah termaktub dalam Al-Quran. Pun begitu, apakah nas pengharaman arak itu boleh menjadi dalil untuk kerajaan islam melarang non Muslim minum arak?
Sembahan berhala sudah pasti dikira sebagai syirik. Pun begitu, apakah nas yang sama juga digunakan untuk kita menjadikan dalil untuk mengharamkan pembinaan rumah-rumah ibadat non Muslim?
Jika ini kita fahami, dimanakah hak non Muslim yang perlu ditunaikan oleh Islam? bukankah islam itu agama yang adil kepada semua, tidak kira terhadap mereka yang muslim, mahupun yang tidak Muslim?
Tidak dinafikan, pemberian hak terhadap non Muslim menggunakan kalimah Allah, menyebabkan kita bimbang dengan kerosakan aqidah umat Islam. Pun begitu, ia bukan lesen untuk kita menafikan hak mereka. jika hak mereka dinafikan, sudah pasti ia dikenali sebagai kezaliman. Ingat, dengan kezaliman, sesuatu golongan ditolak. Tidak mustahil, gerakan Islam juga akan ditolak, jika mereka melakukan kezaliman.
Justeru, keputusan yang paling baik adalah, kita memberikan keizinan kepada non Muslim menggunakan kalimah Allah ini, tetapi hendaklah dikenakan syarat-syarat yang terlalu ketat, agar ia tidak melahirkan mudharat terhadap umat Islam itu sendiri; iaitu seperti kita memberikan hak itu hanya dalam tulisan-tulisan dalam bible mereka dan majalah-majalah mereka, tanpa mengizinkan kalimah Allah ini ditulis pada saindbord gereja, salib, dinding dan sebagainya.
Apabila kita memberi keizinan dengan syarat yang ketat, sudah pasti kita telah melakukan keadilan, disamping kita berhati-hati daripada terpedayanya umat Islam dengan agama mereka.
Tetapi, jika kita mengharamkan terus penggunaan tersebut, sudah pasti kita telah melakukan kezaliman, disamping mata-mata non Muslim akan melihat keburukan yang kononnya wujud pada agama islam itu sendiri, walhal ia tidak begitu.
Apakah kezaliman ini merupakan ajaran Islam? apakah pandangan buruk non Muslim terhadap Islam itu tidak wajib dijaga?
Menggunakan asas uruf untuk menafikan hak non Muslim menggunakan kalimah Allah, merupakan satu cara menggunakan kaedah yang salah. Ini kerana, kaedah uruf digunakan untuk menjadi ‘tangga’ dalam menuju kepada keadilan Islam.
Hudud tidak dilaksanakan, kerana ia tidak difahami oleh rakyat. Uruf rakyat agak tidak menerima hudud lagi, justeru atas kaedah uruf, hudud tidak dilaksanakan lagi. Pun begitu, uruf tersebut tidak boleh dibiarkan, bahkan hendaklah dilakukan dakwah yang bijaksana dan berstrategi untuk memahamkan rakyat tentang hudud, seterusnya hudud itu dilaksanakan dalam sesebuah kerajaan.
Adapun dalam isu kalimah Allah ini, kaedah uruf digunakan untuk menafikan hak non Muslim. Dengan kata lain, kaedah uruf digunakan untuk melakukan kezaliman. Sudah pasti, ia sangat bercanggah dengan maksud syariah.
Secara kesimpulan yang ingin dinyatakan adalah, hak non Muslim wajib diberikan. Tanpa memberikan itu, bermakna kita telah melakukan kezaliman. Pun begitu, disebabkan wujud kebimbangan terhadap umat Islam sendiri, seperti bimbang dengan gejala murtad dan sebagainya, maka hendaklah diwujudkan syarat-syarat yang ketat disebalik keizinan penggunaan tersebut. barulah, tindakan kita itu tidak mengandungi unsure kezaliman, disamping berjaya memberi imej keadilan islam kepada non Muslim itu sendiri.
Sifir dalam hidupku, Islam diterima kerana ia Adil. Ia akan ditolak, apabila pendokong Islam gagal kemukakan keadilan Islam. Jika mahu Islam menang, kemukakan keadilan Islam. Tetapi, jika mahu Islam kalah, lakukankan kezaliman atas nama Islam. - Perjuanganku adalah, Islam adil Untuk Semua.
Sekian
p/s : sepatutnya, pihak NGO Islam tidak perlu mendesak majlis raja-raja agar tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah terhadap Non Muslim, tetapi yang lebih penting perlu dilakukan oleh NGO-NGO Islam adalah, mendesak agar badan agama di seluruh Negara perlu diperhebatkan dakwah mereka, terutama dalam menghuraikan kalimah Allah dalam maksud yang sebenar, seperti yang terkandung dalam surah Al-Ikhlas. Mendesak juga, agar pihak gereja membenarkan badan-badan dakwah dalam Negara berkunjung di gereja-gereja mereka, dengan melakukan dialog terbuka dan tertutup, dengan paderi-paderi, juga penganut-penganut agama krisitian.
Jika ini berjaya dilakukan, hakikatnya kita telah berjaya melakukan keadilan, disamping kita sudah berjaya menerapkan Islam kepada non Muslim. Inilah sebenarnya perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Sekian
”Allah SWT For All * Muhammad SAW For All * Islam For All”
“Islam Adil Untuk Semua”
Wallahu ‘alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment