HOTPOWERS

nuf

Siaran Langsung dari Masjid Nabawi -

2
Makkah LiveTV

إذا لم يعمل البث يرجى الضغط هنا

Saturday, June 13, 2009

Puasa dijangka 22 Ogos, Aidilfitri 20 Sept.

Puasa dijangka 22 Ogos, Aidilfitri 20 Sept.

Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 22 Ogos ini dan akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Ahmad Taufan Abd. Rashid berkata, jika tarikh itu digunakan, ibadat puasa tahun ini hanya dikerjakan selama 29 hari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tarikh sebenar puasa dan Aidilfitri tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak.

''Berdasarkan kepada kiraan falak, anak bulan Ramadan tidak akan wujud pada hari rukyah (20 Ogos) kerana tempohnya tidak sampai pada tahap kematangan berikutan jarak antara waktu berlakunya ijtimak (detik pemisahan) antara bulan Syaaban dan Ramadan adalah satu jam sebelum Maghrib," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Berhubung penentuan tarikh Aidilfitri, Ahmad Taufan berkata, ijtimak Ramadan dan Syawal berlaku pada pukul 2.44 pagi pada hari rukyah 29 Ramadan (19 September) dengan usia anak bulan Syawal mencapai lebih 16 jam.

''Oleh itu, menurut kaedah yang diamalkan di Malaysia, anak bulan Syawal dijangka wujud dan boleh kelihatan pada petang hari rukyah 19 September.

''Jika kaedah itu diguna pakai, kita jangkakan umat Islam akan menyambut Aidilfitri pada Ahad 20 September," katanya.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 8:20 AM

Thursday, June 11, 2009

AKHLAK DAN DISIPLIN DI DALAM HARAKAH ISLAMIAH


Lampiran di bawah adalah kertas kerja oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkenaan dengan akhlak jamaie. Hayatilah kalam mursyid dari Tuan Guru Presiden yang harus kita hayati dan taati demi kelangsungan gerakan dakwah Islam ini.

AKHLAK DAN DISIPLIN DI DALAM HARAKAH ISLAMIAH

Oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang


Muqaddimah

Kemantapan sebuah Harakah Islamiah berhubung erat dengan keteguhan aqidah atau prinsip perjuangannya dan keteguhan pegangan ahlinya di semua peringkat terhadap aqidah dan prinsip itu sehingga membuahkan wala’ dan melengkapkan diri dengan akhlak dan disiplinnya.

Perlu difahami bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar dan prinsip yang sebenarnya tanpa membina peribadi dengan akhlak berjamaah, oleh itu di bawah ini dikemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk dijadikan perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

Akhlak Berjamaah

Supaya perjuangan kita diterima, direstui oleh Allah SWT dan mendapat pertolongan daripada-Nya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas

Pejuang Islam mestilah ikhlas dengan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaan-Nya dengan menegakkan agama-Nya sehingga didaulatkan.

Abu Musa Al Ashaari menceritakan: Seorang Arab Badwi datang menemui Rasullah, dia berkata:

“Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang berperang kerana mahu disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berperang supaya ‘kalimatullah’ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.”

Ini bermaksud perjuangan menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samada melalui pilihan raya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang ikhlas.

Firman Allah, maksudnya:

“Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.” (al Bayyinah : 5)

Apabila mengikhlas niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati dari sifat-sifat yang menrosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Istiqamah

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain, hanyut bersama arus, jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa dan Harun yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya yang bermaksud:

“Maka kamu mestilah istiqamah dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang tidak tahu”. (Yunus : 189)

Apabila Abu Sufian bin Abdullah berkata kepada Rasulullah saw:

“Katakan kepada saya dengan kata-kata yang jelas sehingga saya tidak perlu lagi bertanya seseorang yang lain darimu. Sabda Rasulullah: Katakanlah aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.”

Para rasul dan sahabat adalah orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah sangat penting dan mestilah berterusan, kerana ia adalah tonggak dan cara untuk mendapat pertolongan Allah, bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya sia-sia. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara yang tidak memberi manfaat olehnya bersama sebarang amalan, iaitu menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perjuangan.”

Taat

Ketaatan lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut, apabila pemimpin mempunyai keikhlasan dan menyatakan perngorbanan yang sebenar dan memberi perhatian kepada perjuangan dan pengilut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa lapang dan susah, di masa lapang dan sempit dalam perkara yang tidak maksiat. Firman Allah, maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu akan Allah, taatlah kamu akan Rasul dan Ulil Amri (pemimpin di kalangan kamu)”. (an-Nisa : 59)

Rasulullah telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antara Baitul ‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah.

Di dalam Bai’ah itu Rasulullah bersabda:

“Berbai’ahlah kepadaku di atas kewajipan taat di masa cergas dan di masa malas, sanggup berbelanja di masa susah dan senang, menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah dari kemungkaran, bangun menyatakan agama Allah tanpa terjejas walaupun dicela, sanggup menolong aku apabila aku tiba kepada kamu dan sanggup mempertahankan aku.”

Ketaatan Yang Dituntut

a) Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan sehingga menjadi kelam-kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam jamaah atau parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

b) Ketaatan itu membawa kepada penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti atau jamaah dan melaksanakan amal jamaie yang tidak boleh dijelaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti bercelaru dan tidak selaras antara satu sama lain.

c) Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang terlalu ke depan (advance), ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

Wala’

Kita melihat betapa kumpulan yang tidak Islam mengalami kelemahan dan kepupusan termasuk yang pernah memerintah negara besar, begitu juga dengan pertubuhan yang meletakkan nama Islam tetapi tidak mengambil Islam secara menyeluruh.

Oleh itu maka penekanan yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan wala’ dan disiplin dalam jamaah yang dapat memelihara ketaatan dan perjalanan secara istiqamah. Firman Allah, maksudnya:

“Sesungguhnya wali kamu ialah Allah, rasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka itu sentiasa ruku’” (al Maidah : 55)

Wala’ dan hubungannya dengan Harakah Islamiah (PAS)

Dalam aspek ini perlu dibahagikan wala’ itu kepada beberapa aspek yang perlu diberikan penekanan.

a) Wala’ terhadap aqidah perjuangan

Sesungguhnya wali kamu ialah Allah dan Rasul-Nya. Wala’ dalam aspek ini berkait erat dengan ketaatan secara mutlak kepada Allah dan RasulNya, wajiblah beriman bahawa tiada tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan segala sifat ketuhanan yang Maha Suci dan juga beriman kepada rasul yang wajib dengan sifat-sifat kerasulannya.

Terkandung di dalam mafhum ketaatan dan wala’ kepada Allah dan rasul secara mutlak kepada Al Quran dan Al Hadith yang menjadi rukun dan hokum tertinggi bagi Harakah Islamiah, dan dalam konteks kita di Malaysia ini ialah Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

b) Wala’ kepada Jamaah

Menurut rukun dan hukum haram berjamaah haram kepada ahli yang telah memberi bai’ah kepada jamaah tiba-tiba memberi wala’ kepada kumpulan lain samada yang jelas menentang Islam atau kumpulan yang bernama Islam. Ini bercanggah dengan akhlak berjamaah dan merosakkan perpaduan jamaah, strategi dan jenteranya.

Adapun wala’ kepada jamaah itu bergantung kepada wala’ jamaah terhadap aqidah perjuangan yang sebenar dan menjadi kewajipan kepada ahli mempertahankannya daripada menyeleweng.

c) Wala’ kepada pemimpin

Kepimpinan di semua peringkat merupakan salah satu daripada tonggak yang penting kepada jentera dan perjalanan jamaah. Oleh yang demikian wala’ kepada pemimpin dalan pengertian kasih dan taat mestilah diberi dengan penuh tanggungjawab. Wala’ ini mesti diberi di semua peringkat pimpinan. Ia juga bergantung kepada perinsip perjuangan parti atau jamaah.

Disiplin

Firman Allah, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”(ali Imran : 200)

Perkara yang ditakrifkan dengan disiplin ialah sebagaiman berikut:

1. Tatatertib dan kelakuan diri.

2. Peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.

3. Kepatuhan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan.

4. Hukuman atau denda kerana melanggar peraturan Harakah Islamiah (PAS) telah menetapkan perkara-perkara ini secara menetapkannya di dalam perlembagaan parti secara tegas. Di antaranya ialah menetapkan perkara yang dinamakan tatatertib:

1. Taat kepada hokum-hukum dan ajaran Islam yang menjadi dasar jamaah.

2. Patuh kepada perlembagaan parti serta aturan dan peraturannya.

3. Taat kepada arahan dan perintah jamaah.

4. Melaksanakan kewajipan-kewajipan yang ditugaskan oleh jamaah sedaya upaya yang boleh.

5. Menjaga dengan cermat segala rahsia jamaah.

6. Beramal dengan akhlak Islam.

7. Mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan jamaah.

Penutup

Akhlak dan disiplin penting bagi setiap ahli demi kebaikan jamaah. Setiap ahli mesti berdisiplin dan melengkapkan diri dengan akhlak Islam bagi meningkatkan kejayaannya kepada sasaran dakwah dan matlamat kerana tindakan individu ahlinya menjadi contoh dan perhatian di samping dapat mewujudkan jentera dalaman yang baik bagi mentadbir segala kegiatannya.

"Taat dan Wala' asas akhlak jamaie yang terpuji"

Akhukum

Perwatakan Rasulillah SAW




Sebuah burdah yang digarap daripada sepotong Hadis yang telah diriwayatkan oleh Sayyidina Ali k.w.h berkenaan sifat perwatakan Rasulillah s.a.w.

Wasfun Nabi
Perwatakan Nabi Yang Terpilih
Dengan lautan Kemuliaan dan Kesucian
Para Sahabat Yang Mulia meriwayatkan
Sebahagian mereka, S. Ali yang cukup setia

Baginda sederhana di antara manusia
Tidak terlalu tinggi atau rendah
Rambut hitam warnanya
Wajah bagaikan purnama

Adakah Baginda gempal di antara semua
Adakah muka Baginda bulat, aku menjawab ; Tidak
Raut wajah Baginda bujur
Bagaikan dihiasi berlian dan permata

Bulu mata Baginda bercelak
Mata hitamnya bagaikan malam yang bersinar
Bola mata Baginda begitu menarik
Dek kerna memandang dengan nur Ilahi

Amat pemurah dan begitu mulia
Lihatlah pada penampilan dan dermawannya Baginda
Baginda lebih pemurah daripada hujan yang lebat
Cukuplah jiwaku sebaga perisai kepada Baginda

Rasulullah punyai khatam
Khatam tanda kenabian
Bahu sebagai bukti anugerah khatam itu
Allah sahajalah sebaik-baik Pencipta

Wednesday, June 10, 2009

Tubuh Suruhanjaya Diraja, bersihkan kerajaan Perak Azamin Amin






Wed | Jun 10, 09 |
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Pemuda PAS Perak mendesak supaya ditubuhkan segera Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perubahan kuasa di Perak ekoran rentetan perkembangan politik di negeri ini bermula awal Februari lalu hingga sekarang.


Setiausahanya Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata tujuan penubuhan badan itu adalah untuk menyiasat secara terperinci insiden 'rampasan kuasa' itu demi kepentingan rakyat dan perlu diperjelaskan serta dibersihkan oleh Kerajaan Negeri.

"Kita percaya ada unsur tertentu dan sebab kenapa tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas pada awal Februari dahulu.

"Tindakan mereka itu jelas mengkhianati serta menafikan hak rakyat yang memilih mereka di atas nama Pakatan Rakyat dan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS negeri itu katanya akan mempersembahkan cadangan tersebut kepada Paduka Seri Sultan Perak demi menegakkan demokrasi dan akan juga membersihkan pentadbiran Kerajaan Negeri di samping yakin usaha ini akan memberikan perkembangan positif kepada palabur dan juga pemulihan ekonomi kepada Kerajaan Negeri kelak.

"Kita amat yakin dan percaya jika usaha ke arah penubuhan suruhanjaya ini dan akan menjalankan siasatan yang bakal mendedahkan kepada seluruh rakyat bagaimana perubahan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat yang dirampas oleh Umno / Barisan Nasional (BN)," katanya.- azm _

Tuesday, June 09, 2009

50 Rangsangan Anak Bijak



09 Jun 2009
Tip: 50 Rangsangan Anak Bijak

raffizmy@yahoo.com

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU- SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Monday, June 08, 2009

Umno macam kucing, kata MB Kedah

08 Jun 2009

SHAH ALAM, 7 Jun: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno umpama kucing, "baik di depan tetapi awas di belakang kita dia akan curi ikan kita."

Azizan berkata demikian ketika membuat ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke 55 dekat sini hari ini.

"Menjadi perangai kucing juga dia akan berak di mana-mana sahaja hatta atas sejadah sekalipun," kata Azizan yang disambut gelak ketawa perwakilan
dan pemerhati muktamar.

Namun, Azizan berkata, "kita tetap masih boleh runding dengan Umno ni."

Azizan berkata, sehingga hari ini, Umno masih berusaha untuk mencuri Adun PAS dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah.

"Mereka tidak berhenti dari membuat kerja ini," kata Azizan. Siasahdaily.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 7:36 AM

Sunday, June 07, 2009

BELAJAR BAHASA



أما


Untuk kali ini hanya maklumat ringkas yang ana sebutkan berkenaan penggunaan kalimah Amma.

أما

Peranan

Membawa maksud 'adapun..'

Kalimah amma ni merupakan salah satu penanda wacana (dalam bentuk ayat syarat) bagi mengindahkan sesuatu kalam.

Penggunaan

- Mesti disertakan bersama dengan huruf fa' ( الفاء ) sebagai jawapan kepada ayat sebelumnya. Bermaksud, '..maka'

- Kalimah amma dan huruf fa' ini tidak menjejaskan kedudukan i'rab kalimah selepasnya.

Contoh

Khutbah @ ucapan

أما بعد، فيا عباد الله

Al-Quran



"Adapun orang-orang yang beriman dan melakukan amalan soleh, maka bagi mereka syurga ma'wa..." as-Sajdah : 09



"Adapun perahu itu, maka ia adalah kepunyaan orang miskin..." al-Kahfi : 79

Semoga maklumat ringkas ini, memberikan manfaat berguna.

Tajdid satu keperluan umat Minda Dr.Maza


Tajdid atau pembaharuan (renewal) adalah satu keperluan. Jika tidak kerana gerakan atau usaha tajdid sepanjang sejarah umat ini tentulah Islam menjadi begitu lemah dan hilang kemampuannya. Nabi s.a.w dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud menyebut: "Sesungguhnya Allah akan menghantar untuk umat ini setiap awal seratus tahun sesiapa yang mentajdidkan untuk umat ini agamanya". Sepanjang sejarah, tokoh-tokoh atau gerakan tajdid muncul melaksanakan berbagai usaha dan menghadapi berbagai cabaran. Berbagai-bagai bidang tajdid dilakukan demi kebaikan umat. Khalifah 'Umar bin 'Abd al-'Aziz ialah tokoh tajdid (mujaddid) yang disepakati umat. Kemudian muncul berbagai tokoh lain yang dianggap mujaddid; seperti al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H), al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dan lain-lain. Perkataan 'man' atau sesiapa dalam hadis di atas mencetuskan berbagai tafsiran di kalangan sarjana. Mereka membahaskan apakah ia bermaksud 'seorang' setiap kurun, atau ramai tetapi bertebaran di berbagai tempat dan negeri yang berbeza, atau ia bermaksud gerakan dan seumpamanya. Apapun yang penting, hadis ini menceritakan tajdid dalam Islam adalah keperluan.

Tajdid bukan bererti mendatangkan agama baru. Di sini dua maksud tajdid boleh diberikan; pertama, tajdid bermaksud mengembalikan wajah asal agama seperti kita membaharukan semula sesuatu yang telah menjadi buruk atau akan luput tarikhnya. Pembaharuan atau tajdid bererti yang asal itu wujud, tetapi keadaan dan masa menuntut ia dibaharukan. Contoh yang praktikal adalah kita membaharukan lesen memandu atau selainnya. Lesen asal itu ada, tetapi dipembaharuan dibuat disebabkan ia menjadi lama atau luput. Kedua, tajdid juga boleh bermaksud benar-benar mendatang sesuatu yang baru disebabkan kerana keperluan dan tuntutan yang baru yang tiada pada zaman sebelumnya seperti manusia mengadakan kenderaan moden, tetapi atas asas yang sama iaitu kehendakan manusia untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Maka dalam konteks Islam, sesuatu yang baharu itu hendaklah tidak mengubah agama, sebaliknya tafsiran atau pandangan yang baru disebabkan tuntutan keadaan, namun ia tetap tidak lari dari maksud dan kehendak nas al-Quran dan al-Sunnah. Dalam ertikata lain, pembaharuan Islam bermaksud mengembalikan umat kepada wajah asal Islam yang telah tercemar dan dilupai disebabkan keadaan dan zaman, atau mengadakan tafsiran dan pandangan baru atas keperluan semasa tetapi tetap berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam hadis yang lain baginda menyebut: "Hendaklah membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil. (Riwayat al-Baihaqi, Ibn 'Adi dan lain-lain. Dinilai hasan oleh al-Imam Ahmad).

Al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber rujukan Islam yang diboleh diubah. Namun di sana ada dua masalah utama mengenai dua sumber agung ini; pertama, pencemaran terhadapnya. Kedua, penafsiran terhadap maksudnya. Al-Quran sekalipun dijamin oleh Allah tidak mungkin mampu diselewengkan teks asalnya, tetapi ia dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan dimasukkan unsur-unsur Israiliyyat dan kisah-kisah dongeng yang cuba dikaitkan dengan al-Quran. Sehingga mereka yang tidak tahu, merasakan cerita-cerita al-Quran bagaikan 'lucu' dan tidak praktikal. Ini bukan sedikit yang dibuat oleh sesetengah para penceramah agama di media elektronik dalam negara kita. Adapun hadis, terdapat ribuan hadis-hadis palsu yang telah direka sepanjang sejarah untuk berbagai kepentingan, atau atas kejahilan. Di Malaysia ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik dan membaca hadis sehingga kadang-kala cerita-cerita lucu atau tidak munasabah dikaitkan dengan hadis. Kesemua ini memerlukan tajdid.

Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An'am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah 'menukar agama' walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.

Dalam kefahaman fekah, taksub 'mazhab' yang cuba diwariskan kepada kita sesetengah kelompok konservatif agama menjadi masyarakat kita 'buta dalil' atau langsung tidak bertanya khabar tentang di manakah sumber sesuatu amalan agama dibuat. Benarkah ia berasal dari al-Quran dan al-Sunnah atau sekadar andaian. Bahkan yang taksub mazhab Syafi'i itu sendiri pun tidak pasti, betulkan al-Imam al-Syafi'i (meninggal 204H) berpendapat demikian? Atau sekadar 'mulut orang'. Lebih bermasalah lagi, kita kefahaman fekah tanpa dalil atau berasaskan dalil yang lemah itu menyebabkan kejumudan dan kesusahan umat. Diletakkan hukum-hakam yang tidak berasaskan nas yang jelas seperti 'arahan menyamak rumah' yang diajar oleh sesetengah pihak. Sudahlah tiada asas yang jelas, ia membebankan umat yang bukan-bukan. Keperluan kepada fekah yang berasaskan dalil dan mudah adalah tuntutan zaman ini. Dalam hadis Nabi s.a.w menyebut: "Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka" (Riwayat al-Bukhari).

Tazkiah al-Nafs, atau penyucian jiwa yang juga disebut oleh sesetengah pihak sebagai tasawwuf adalah satu keperluan. Namun persoalan yang begitu halus seperti itu yang membabitkan hubungan jiwa insan dengan Allah memerlukan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak ia akan terbabas menjadi bahasa-bahasa falsafah, igauan mengenai alam ghaib, sibuk dengan cerita wali dan keramat itu dan ini dan berbagai falsafah pelik yang lain. Tidak membawa mereka menuju kepada Allah sebaliknya ada yang terheret ke dalam kancah tarekat-tarekat yang pelik sehingga mereka tidak lagi mempelajari al-Quran dan hadis sebaliknya menumpukan kepada 'apa kata tok syeikh'. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Politik keperluan manusia untuk hidup bermasyarakat. Islam mempunyai panduan mengenainya. Namun oleh kerana terbiasa dengan cara politik Barat, bahkan kita lebih buruk dari mereka kadang-kala, maka politik bukan membawa kebahagiaan dan ketenteraman kepada umat, sebaliknya mencetuskan kesusahan, kegelisahan dan berbagai lagi kerenah yang lain. Pemikiran Islam dalam politik menjadi begitu tidak jelas sekalipun yang memakai jenama Islam atau yang berkaitan dengannya. Tajdid diperlukan dalam hal ini.

Banyak perkara-perkara baru yang wujud di zaman ini yang tidak pernah dikenali sebelumnya. Berbagai perubahan keadaan umat dan dunia menuntut berbagai pandangan baru dicetuskan demi survival umat. Islam itu diturunkan untuk maslahat manusia. Sesetengah pandangan atau pendapat sarjana Islam yang silam, mungkin bukan salah, tetapi telah luput tarikh disebabkan perubahan zaman dan keadaan. Maka mentajdidkan pendapat atau pandangan baru yang masih teraskan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu keperluan dan tuntutan. Sebahagian nas al-Quran dan al-Sunnah hendaklah dilihat dalam konteks yang lebih luas dari segi maksud dan 'semangatnya'.

Jelas, usaha dan gerakan tajdid adalah keperluan umat, termasuk kita di Malaysia. Walaupun kadang-kala usaha tajdid di Malaysia pernah dikritik oleh yang tidak selesa dengannya dengan berbagai tohmahan. Namun baginda pernah menyebut: "Islam itu bermula dalam keadaan yang asing, dan akan kembali asing maka beruntung mereka yang asing. Ditanya baginda: "Siapakah mereka wahai Rasulullah!" Jawab baginda: "Mereka yang membaiki ketika manusia rosak". (Riwayat Ahmad, sahih).

Kuliah politik Prof Dr Aziz Bari 8 Jun

KULIAH POLITIK PERAK MENGIKUT PERLEMBAGAAN


Prof Dr Aziz Bari

Tarikh:
8 Jun 2009 (Isnin)


Waktu:
9.30 malam

Tempat:
Pejabat Pas,
Pusat Komersil Tmn Meru 2B,
Ipoh, Perak

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

PAS parti autokratik, hipokrit dalam perjuangan - SIS

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sisters in Islam (SIS) hari ini mengecam tindakan PAS meminta parti itu diharamkan jika perjuangannya bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Pengurus Program SIS, Norhayati Karpawi, PAS merupakan sebuah parti politik yang autokratik dan hipokrit dalam perjuagannya.

"PAS bersifat autokratik dan tidak mendokong prinsip demokrasi yang dilaung-laungkannya selama ini.

"Hal ini jelas bertetangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara yang diamalkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat," kata Pengurus Program SIS, Nohayati Karpawi kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan usul yang dikemukakan oleh PAS kawasan Shah Alam pada Muktamar parti yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam.

Usul itu antara lain berbunyi menyedari bahawa aliran dan pandangan dibawa oleh SIS boleh mengelirukan masyarakat, mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam dan membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Hayati berkata PAS sering melaungkan isu mengenai kebebasan bersuara dan berpersatuan untuk kepentingan parti itu semata-mata.

"Jika mereka tidak setuju dengan perjuangan kita kenapa perlu minta kerajaan SIS. Hanya kerana kami perjuangkan hak wanita, kami dilabel sebagai bersikap 'feminis'..Ini tidak betul dan ada 'double standard' di sini..

"Mereka (PAS) tidak boleh membuat tuduhan melulu, mereka perlu buktikan jika perjuangan kami menyeleweng dari ajaran Islam," katanya.

Tegas beliau, hal ini menunjukkan parti itu bersifat 'angkuh' dengan meminta SIS diharamkan.

"Lihatlah mereka (PAS) belum dapat kuasa sudah begini, apa akan jadi bila mereka berkuasa nanti. Mereka akan gunakan nama Islam untuk membuat perkara-perkara lain pula.

"Parti gabungan dalam Pakatan Rakyat seperti, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu buat pendirian yang jelas dalam isu ini kerana pendirian PAS terhadap SIS akan memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhannya," katanya.

Jelasnya, pertubuhan bukan kerajaan itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pendirian mereka dalam masa terdekat.

Saturday, June 06, 2009

barisan kepimpinan parti


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama barisan kepimpinan parti yang baru, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa (dua dari kiri). Bagi jawatan Naib Presiden Salahuddin Ayub (kiri), Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kanan) dan Datuk Mahfuz Omar (kanan) pada Muktamar PAS di Stadium Malawati Shah Alam.

DOA SEGALA PENAWAR

10 sebab-sebab doa tidak diperkenankan oleh Allah





1. Kita mengaku mengenali Allah tetapi tidak pernah menunaikan akan hak-hakNya dengan melaksanakan segala surahan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

2. Kita mengakui menyintai Rasulullah tetapi tidak pernah sekali pun mengikuti sunnahnya.

3. Kita mengakui bahawasyaitan itu adalah musuh yang paling ketat tetapi masih patuh dan mengikuti segala hasutannya.

4. Kita sering membaca kitab suci Al-Quran tetapi tidak pernah mengamalkan segala isi kandungnya.

5. Kita sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari seksaan api neraka tetapi dalam masa yang sama kita masih melakukan maksiat dan dosa.

6. Kita sering mengumpat dan mendedahkan keaiban saudara seagama kita tetapi tidak pernah melihat kepada keaiban sendiri.

7. Setiap hari kita mendapat nikmat dan rezeki yang Allah beri tetapi tidak pernah sekalipun mahu bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya.

8. Kita mengiringi dan mengebumikan jeazah di perkuburan tetapi tidak pernah mahu mengambil iktibar dari kematian itu.

9. Kita tahu dan yakin bahawa kematian itu pasti berlaku tetapi tidak membuat persiapan untuk menuju ke sana.

10. Kita sentiasa berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga dan ditempatkan bersama orang-rorang soleh tetapi tidak pernah berusaha mendapatkannya.

nang

kami sokong tok guru





TENGOK TV

Photobucket

HARGA MINYAK MENTAH